Monday, October 31, 2011

KRITERIA WAJIB ZAKAT

بسم الله الرحمن لرحيم

Betapa agung dan sempurna syariat islam yang telah diredhai Allah S.W.T yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana untuk mengatur kehidupan umat manusia. Syariat yang mengatur seluruh aspek kehidupan manusia, termasuk aspek yang berkaitan dengan harta benda mereka yang merupakan keperluan dalam maslahat hidup manusia.


Ada beberapa syarat yang harus dipenuhi sehingga seseorang terkena kewajipan menunaikan zakat harta (mal). Syarat-syarat tersebut adalah :


        1.Beragama Islam


         Maka zakat harta tidak wajib ke atas orang kafir yang asalnya memang kafir dan tidak pernah memeluk islam. Demikian pula orang yang murtad setelah memeluk islam, menurut pendapat yang rajih. Maksudnya adalah seorang yang murtad sebelum terkena kewajipan zakat. Dalam permasalahan ini  ada 3 pendapat dan yang rajih tidak terkena kewajipan selama berkeadaan sebagai murtad. Kerana hak kepemilikan hartanya gugur secara automatik akibat perbuatan murtadnya. (Al-Majmuk). Dalilnya adalah hadis Ibnu Umar bahawasanya Rasulullah s.a.w menulis kepada Ahlul Yaman, iaitu kepada Al-Harits bin Abdi Kilal dan yang bersamanya dari kalangan Maafir dan Hamdan :
     
   " Wajib atas orang beriman untuk membayar sepersepuluh untuk zakat buah-buahan atau hasil pertanian yang menggunakan sumber mata air atau air hujan, dan seperdua puluh untuk yang menggunakan sumber air al-gharb ( timba besar yang terbuat dari kulit lembu) ." (Riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Al-Baihaqi)

          Iman Al-Baihaqi berkata setelah meriwayatkannya : " Hadis ini seakan menunjukkan bahawa zakat tidak dikutip dari ahluz zimmah ( orang kafir yang hidup di penempatan kaum muslimin ) ".
         Dalam kitab Ash-Shahihah juga disebutkan " sesungguhnya siapapun yang mempelajari sirah ( perjalanan hidup ) Nabi s.a.w, sejarah Al-Khulafa Ar-Rasyidun, dan khalifah-khalifah kaum Muslimin lainnya serta penguasa-penguasa mereka, akan mengetahui dengan pasti bahawasanya tidaklah mereka memungut zakat dari selain kaum muslimin tempatan. Sesungguhnya mereka hanyalah memungut jizyah (bayaran) dari ahlul zimmanh sebagaimana yang ditegaskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah."
        Iman An-Nawawi dalam kitab Al-Majmuk dan Iman Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni menyatakan bahawa tidak ada khilaf ( perbezaan pendapat ) di kalangan ulama tentang hal ini..
Zakat hanya diwajibkan ke atas kaum muslimin kerana zakat bertujuan untuk membersihkan pemilik harta yang terkena zakat. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT :
       
 " Hendaklah engkau ( wahai Muhammad ) mengambil zakat dari harta-harta mereka yang dengannya engkau membersihkan mereka daripada dosa dan memperbaiki keadaan mereka, serta berselawatlah untuk mereka. " ( At -Taubah : 103)

Sedangkan orang kafir tidak ada manfaat yang perlu dibersihkan. Sheikh Utsaimin dalam Asy-Syarhul Mumti mengatakan :
       
    "Orang kafir najis. Meskipun dicuci dengan air laut seluruhnya dan emas sepenuh bumi, maka tidak akan menjadi suci hingga bertaubat dari kekufurannya".


     2. Merdeka


           Zakat harta tidak wajib atas diri seorang budak sahaya, kerana seorang budak sahaya tidak mempunyai hak milik. Diri seorang budak serta hartanya adalah milik tuannya. Dalil yang menunjukkan hal ini adalah daripada Ibnu Umar :

" Barangsiapa membeli seorang budak dan pada budak itu ada harta maka hartanya untuk tuannya  yang menjualnya, kecuali jika pembelinya mensyaratkan ( bahawa hartanya untuk dirinya)
(riwayat Al-Bukhari no 2379 dan Muslim no. 1543 )


    3. Harta yang dimiliki mencapai nishab


          Nishab adalah kadar atau nilai tertentu yang ditetapkan dalam syariat sebagai batasan minimun sesuatu harta terkena kewajipan zakat. Nishab berbeza-beza pada setiap  harta yang terkena zakat. Jika seseorang mempunyai harta yang nilainya tidak mencapai nishab, maka hartanya tidak terkena zakat.
Abu Said berkata Al-Khudri:
      
" Tidak ada zakat pada hasil tanaman yang takarannya kurang dari lima wasaq, tidak ada zakat pada unta yang jumlahnya kurang dari lima ekor , dan tidak ada zakat pada perak yang beratnya kurang dari lima grams."
(Riwayat Al-Bukhari no. 1447, 1484 dan Muslim no. 979)


    4. Harta telah dimiliki secara tetap


            Harta yang belum dimiliki secara tetap tidaklah terkena zakat. Contohnya, sewa rumah sebelum berakhirnya batasan masa penyewaan. Meskipun wang sewa rumah itu telah menjadi hak milik tuan rumah dengan terjadinya akad sewa, namun dia belum memilikinya secara sepenuhnya. Kerana boleh sahaja rumah itu terkena musibah dan runtuh, sehingga akad sewa  yang disepakati menjadi menjadi batal dan wang sewanya kembali kepada pemiliknya semula (penyewa).


   5. Sempurnanya haul


            Haul adalah masa satu tahun yang harus dilalui oleh nishab harta tertentu tanpa berkurang dari nishab hingga akhir tahun.
Rasulullah s.a.w. bersabda :
       
   "Barangsiapa menghasilkan harta maka tidak ada kewajipan zakat pada harta itu hingga berlalu atasnya waktu satu tahun".


          Namun pada beberapa jenis harta tidak disyaratkan haul, iaitu hasil tanaman (biji dan buah), anak haiwan ternakan, dan laba harta perdagangan. Hasil ternakan wajib dikeluarkan zakatnya bersama induknya jika induknya mencapai nishab, berdasarkan perhitungan haul induknya. Laba harta perdagangan wajib dikeluarkan zakatnya bersama modalnya jika modalnya mencapai nishab, menurut perhitungan haul modalnya.






sumber : majalah i edisi DIS 2010

Thursday, October 13, 2011

Cabaran Terahadap Wanita Islam Yang Memelihara Aurat

بسم الله الرحمن الرحيم




Di tengah-tengah ribut fesyen yang melanda alam wanita islam zaman kini,di sana masih ada wanita yang sanggup menempuh cabaran itu dan tetap berpegang teguh kepada perintah Allah kerana mereka sedar bahawa tiada siapa pun yang diberi pengecualian dari hukumNYA. Mereka sanggup memakai pakaian yang menutup semua aurat sekalipun tidak dipandang cantik dan seksi. Mereka tidak malu dicemuh dan diejek oleh masyarakat sekeliling termasuk dari kaum sejenis mereka sendiri.


Sebenarnya itulah dia wanita serikandi Islam yang berjaya menentang musuh dalam diri mereka sendiri iaitu hawa  nafsu dan juga cabaran luar iaitu cemuhan masyarakat. Mereka sesungguhnya wanita yang berjaya mempertahankan Sunnah Rasulullah s.a.w di zaman manusia sedang tenggelam dalam arus tamadun yang tersisih dari nilai-nilai Islam yang sebenarnya. Tidak syak lagi mereka mendapat pahala yang istimewa atas kejayaan mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w :

" Barang siapa berpegang teguh kepada Sunnahku ketika umatku sedang dalam kerosakan,maka ia akan mendapat pahala seratus orang mati syahid"

Zaman yang dimaksudkan dalam hadis Rasulullah itu sudah tiba dan telah lama tiba, dan kita sendiri sedang berada di dalamnya. Oleh itu umat islam hendaklah sentiasa berwaspada dalam meneruskan hidup di zaman penuh pancaroba ini.

Kepada srikandi Islam yang cekal mengharungi gelombang zaman mestilah meneruskan perjuangan dalam mempertahankan keperibadian Islam dalam dirinya biarpun dunia mengeji,tetapi Allah dan RasulNYA memuji. Kita hendaklah bertindak sebagai ibu mithali yang sebenarnya menurut Islam yang mampu mendidik anak zaman ini ke arah jalan kebenaran yang diredhai Allah. Tegakkan kaki kita diatas landasan sunnah tanpa goyang,lantaran syurga sebenarnya di bawah tapak kaki kita.

sabda Rasulullah s.a.w 

"syurga itu berada di bawah tapak kaki ibu"

Dan kita adalah penentu kepada generasi yang akan datang. Selamat berjuang di jalan Allah.








Saturday, September 24, 2011

Pembahagian Tugas Bagi Setiap Unit Dalam EDHAM

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah,baru-baru ini Exco Dakwah Dan Akademik Muamalat telah mengadakan perjumpaan ringkas bersama ajk-ajk dibawahnya pada 20 september bertempat di Perpustakaan. Perjumpaan ringkas tersebut adalah bertujuan untuk membahagikan tugas-tugas bagi unit-unit yang telah dibentuk.


Unit Gerak Kerja Tarbiyah (GT)
1. Muhammad Safuan B. Adnan
2. Asma Bt Mohd Tajuddin


Peranan :
* Menyusun strategi untuk menarik minat mahasiswa mendekati islam.
* Melaksanakan usaha yang dapat melahirkan muslim yang soleh dan musleh melalui program tarbiyah seperti usrah,riadah ukuwah dan lain-lain.




Unit Prestasi Akademik (PA)
1. Mohd Hafiz B. Mat
2. Siti Khadijah Bt Abrar


Peranan :
* Memikirkan bagaimana ingin membantu mahasiswa memperolehi prestasi yang cemerlang dalam akademik.
* Menguruskan Muamalat Study Group (MSG) atau Kelas Bimbingan Intensif (BINA).
* Mengkaji masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam akademik serta pelan tindakan bagi menyelesaikan masalah tersebut.


Unit Informasi & Teknologi (IT)
1. Mohd Hafiz B. Ramli (Facebook)
2. Wan Samihah Bt Ali ( Blog )


Peranan :
* Menjadikan media masa sebagai penyebaran maklumat seperti melalui facebook dan blog.
* Berperanan dalam mencari sebarang informasi berkaitan hal ehwal semasa atau fakta sejarah khususnya dalam bidang muamalat dan dakwah.
* Berperanan sebagai unit penerangan yang menyebarkan maklumat berkaitan Kelab Pentadbiran Muamalat dan Exco Dakwah & Akademik seperti visi,misi,organisasi,program dan lain-lain.




Unit Produksi & Kreativiti (PK)
1. Mohamadd Zaimie B. Abdullah
2. Nur Sakinah Bt Che Gani


Peranan :
* Menumpukan kepada penghasilan produk seperti keychain,payung dan barang-barang lain yang dapat mempromosikan nama kelab.
* Memupuk minat dalam daya penciptaan dan penghasilan dalam kalangan mahasiswa.

Saturday, September 17, 2011

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Muamalat?

بسم الله الرحمن الرحيم


Sebagaimana yang kita ketahui manusia tidak boleh hidup bersendirian tanpa pertolongan orang lain,hal tersebut merupakan satu fitrah. Muamalat ialah perhubungan antara manusia sesama mereka untuk mendapatkan keperluan masing-masing dengan cara yang baik sesuai dengan ajaran dan tuntutan agama serta landasan syara'.

Syariat Islam telah menjelaskan dengan terperinci tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan muamalat,antaranya ialah jual beli,sewa-menyewa,hutang-piutang,gadaian,upahan,syarikat usahasama dan syarikat permodalan serta perkongsian untung dan rugi.

Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah
 dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan
 kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau
melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari
 dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah)sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang berbuat kerosakan ".
(surah al-qasas 28 : 77)

Fungsi Dan Kepentingan Muamalat

Konsep muamalat dapat memberi faedah yang besar kepada manusia antaranya ialah :

1.Kepentingan muamalat supaya manusia hidup bekerjasama,tolong-menolong,bertukar-tukar keperluan serta berhubung dan berkenalan.

sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah
 menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami
 telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku
 puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra
 antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia
-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya
 di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau
 bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi
 Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan
 amalan kamu)."
(surah al-hujurat 49 : 13 )

2.  Muamalat dapat membawa kepada perpaduan umat dan ke arah keamanan masyarakat dan negara.
sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :
"....dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk
 membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu
 bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan
 pencerobohan".
(surah al-ma'idah 5 : 2)


3. Melalui muamalat,Islam dapat menghindarkan daripada berlakunya penindasan,kezaliman dan penipuan.

sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta
 (orang-orang lain) di antara kamu Dengan jalan Yang
 salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu
 (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak
 memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta
 manusia Dengan (berbuat) dosa, padahal kamu
 mengetahui (salahnya)."
(surah al-baqarah 2 : 188)

4. Dapat mewujudkan masyarakat yang sentiasa berdikari,saling berlumba-lumba,tekun dan sabar dalam mencari rezeki yang halal.
sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :
"Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah
 dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan
 kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau
 melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari
 dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah)
 sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan
 pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan
 janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi;
 Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang
 berbuat kerosakan ".
(surah al-qasas 28 : 77)


5. Muamalat juga untuk melahirkan umat yang sentiasa bertanggungjawab,serta sentiasa berlumba-lumba dalam membelanjakan harta pada jalan yang diredhai Allah S.W.T seperti sedekah,zakat,hibah,wasiat dan sebagainya

Sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :

"....oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan
 kebaikan...."

(surah al-baqarah 2 : 148 )


Manusia perlu dipupuk dengan nilai dan ajaran islam yang merupakan teras kepada ekonomi islam..hal itu supaya menjadi petunjuk kepada mereka dan tidak menyimpang daripada matlamat yang dikehendaki oleh syarak..



sumber : Ustaz Abdul Latif Muda, Ustazah Rosmawati Ali @ Mat Zin, Pengantar Fiqh ,Pustaka Salam Kuala Lumpur 1997















Saturday, August 27, 2011

Amalan di Hari Raya

Bersyukur atas nikmat Ilahi kerana masih memberi kita ruang waktu untuk mendekatkan diri kepadaNya. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad, kaum keluarganya, para sahabat dan para pejuang Islam sekalian.

Secara sedar atau tidak, Ramadan bakal melabuhkan tirainya. Syawal pula akan menjelang  tidak lama lagi. Justeru, di hari raya yang mulia ini marilah sama-sama kita menghidupkan amalan sunnah Rasulullah di malam dan di pagi syawal.



Amalan yang menjadi kebiasaan Nabi Muhammad semasa di malam raya ialah menghiasi malam tersebut dengan takbir raya. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah  yang bermaksud: “ Hiasilah hari raya kamu dengan takbir dan tahmid."

Janganlah kita mencemarkan malam syawal kita dengan melakukan amalan yang tidak berfaedah seperti melepak, menonton rancangan-rancangan hari raya atau hiburan yang mengasyikkan di tv, bermain mercun dan sebagainya. Adalah lebih baik kita melakukan persiapan menjelang raya seperti menghias rumah atau menggosok pakaian sambil bertakbir dan memuji kebesaranNya.


Oleh itu marilah sama-sama kita mengajak kaum keluarga kita, sanak saudara dan sahabat handai mengimarahkan malam aidilfitri dengan menghidupkan amalan bertakbir di rumah masing-masing atau berziarah sambil bertakbir dari rumah ke rumah di kampung selain di masjid atau di surau.

Amalan di pagi raya
  •  Bersarapan terlebih dahulu sebelum ke masjid
  •  Mengenakan pakaian yang baharu sesuai dengan kemampuan dan berwangi-wangian bagi orang lelaki
  •  Bersegera pergi ke tempat solat
  •  Melalui jalan yang berbeza ketika pergi dan pulang dari masjid
  •  Menziarahi saudara mara, jiran, sahabat dan mengunjungi pusara
  •  Bersedekah dengan memberi duit raya

Amalan yang dilarang
  • Berjabat tangan atau bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti sepupu, jiran, rakan dan sebagainya
  • Tidak menjaga aurat seperti dengan abang ipar atau orang lain yang bukan mahram
  • Memakai wangi-wangian dan berlebihan dalam bersolek (khas buat wanita) lalu mendedahkan diri kepada lelaki yang bukan mahram
  •  Memakai pakaian yang ketat dan nipis bagi wanita
  •  Meninggalkan atau melambatkan solat kerana sibuk beraya. Masjid dan surau mula sepi kembali kerana solat berjemaah sudah tiada dalam set minda
  •  Melakukan kembali dosa-dosa yang pernah dilakukan sebelum Ramadan. Ramadan dijadikan sebagai tempat untuk berehat daripada melakukan maksiat seperti mengumpat, mengata, berdating, bersyahwat seperti melalui telefon, chat atau berdua-duaan dengan yang bukan mahram
  •  Makan terlau banyak dan membazir


Sumber: Ustaz Zainuddin Hashim dalam ruangan Fikrah Harakah keluaran 26-28 Ogos 2011 @ http://www.pmram.org




      

    Saturday, August 20, 2011

    Guidance (Hidayah)

     Sambut ia,terimalah bila datang pada kita,
     Kerna ia hanya datang pada hamba yang terpilih,
     Tidak akan kau temui untuk kali keduanya,
     Takan dapat engkau cari bila ia telah pergi.
     (Lirik dipetik dari lagu Suara Hidayah nyanyian
     Nazrey   Johani Ft. Akhil Hayy)

     Mari kita sama-sama renungkan dan hayati disebalik
     lirik lagu yang bertajuk Guidance nyanyian NOOR
     ini..Semoga dari mata akan turun ke hati.

    Thursday, August 18, 2011

    Ramadhan Kareem



    Ramadhan Kareem!!! Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, kita masih dipanjangkan usia untuk berada di bulan Ramadhan. Inilah yang sering kita doakan: “Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.” 

    Ramadhan ialah bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya rahmah, di tengah-tengahnya maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka.  


     “Ramadhan Kareem” sering diucapkan oleh masyarakat Arab sebagai penghormatan terhadap bulan Ramadhan yang tiba. Ia adalah bulan yang penuh dengan rahmat dan keampunan. Bulan Ramadhan digelar sebagai “Kareem” kerana bulan ini adalah bulan yang mulia dan menyimpan seribu satu anugerah Allah yang dikhususkan bagi umat Nabi Muhammad s.a.w. Antaranya ialah terbuka luasnya pintu taubat dan maghfirah serta dilipat gandakan pahala-pahala kebaikan, disamping rahsia agung yang tersimpan dalam Lailatul qadar-Nya.

     Jika seseorang diberi kehormatan oleh orang lain dengan ucapan “Ramadhan Kareem” maka hendaklah orang tersebut membalasnya dengan ucapan “Allahu Akram” (Allah Maha Mulia).  Jawaban ini patut diucapkan agar kita sedar bahawa Allah adalah dzat yang maha mulia lagi maha pemurah atas segala anugerah yang tak terhitung selama kita hidup di dunia.


           Semoga Allah menerima puasa kita, solat kita, doa kita dan semua amalan kita. Semoga Allah membantu kita untuk meneruskan amalan-amalan ini secara berterusan sepanjang tahun biarpun sedikit sebagaimana yang disebut di dalam hadis: Aisyah (ra) berkata yang bermaksud "Ditanya Nabi (saw) tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah." Baginda bersabda: "Amalan yang berterusan walaupun sedikit." Wallahu a’lam.

    Tinggalkan komen anda

    Like