Monday, October 31, 2011

KRITERIA WAJIB ZAKAT

بسم الله الرحمن لرحيم

Betapa agung dan sempurna syariat islam yang telah diredhai Allah S.W.T yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana untuk mengatur kehidupan umat manusia. Syariat yang mengatur seluruh aspek kehidupan manusia, termasuk aspek yang berkaitan dengan harta benda mereka yang merupakan keperluan dalam maslahat hidup manusia.


Ada beberapa syarat yang harus dipenuhi sehingga seseorang terkena kewajipan menunaikan zakat harta (mal). Syarat-syarat tersebut adalah :


        1.Beragama Islam


         Maka zakat harta tidak wajib ke atas orang kafir yang asalnya memang kafir dan tidak pernah memeluk islam. Demikian pula orang yang murtad setelah memeluk islam, menurut pendapat yang rajih. Maksudnya adalah seorang yang murtad sebelum terkena kewajipan zakat. Dalam permasalahan ini  ada 3 pendapat dan yang rajih tidak terkena kewajipan selama berkeadaan sebagai murtad. Kerana hak kepemilikan hartanya gugur secara automatik akibat perbuatan murtadnya. (Al-Majmuk). Dalilnya adalah hadis Ibnu Umar bahawasanya Rasulullah s.a.w menulis kepada Ahlul Yaman, iaitu kepada Al-Harits bin Abdi Kilal dan yang bersamanya dari kalangan Maafir dan Hamdan :
     
   " Wajib atas orang beriman untuk membayar sepersepuluh untuk zakat buah-buahan atau hasil pertanian yang menggunakan sumber mata air atau air hujan, dan seperdua puluh untuk yang menggunakan sumber air al-gharb ( timba besar yang terbuat dari kulit lembu) ." (Riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Al-Baihaqi)

          Iman Al-Baihaqi berkata setelah meriwayatkannya : " Hadis ini seakan menunjukkan bahawa zakat tidak dikutip dari ahluz zimmah ( orang kafir yang hidup di penempatan kaum muslimin ) ".
         Dalam kitab Ash-Shahihah juga disebutkan " sesungguhnya siapapun yang mempelajari sirah ( perjalanan hidup ) Nabi s.a.w, sejarah Al-Khulafa Ar-Rasyidun, dan khalifah-khalifah kaum Muslimin lainnya serta penguasa-penguasa mereka, akan mengetahui dengan pasti bahawasanya tidaklah mereka memungut zakat dari selain kaum muslimin tempatan. Sesungguhnya mereka hanyalah memungut jizyah (bayaran) dari ahlul zimmanh sebagaimana yang ditegaskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah."
        Iman An-Nawawi dalam kitab Al-Majmuk dan Iman Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni menyatakan bahawa tidak ada khilaf ( perbezaan pendapat ) di kalangan ulama tentang hal ini..
Zakat hanya diwajibkan ke atas kaum muslimin kerana zakat bertujuan untuk membersihkan pemilik harta yang terkena zakat. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT :
       
 " Hendaklah engkau ( wahai Muhammad ) mengambil zakat dari harta-harta mereka yang dengannya engkau membersihkan mereka daripada dosa dan memperbaiki keadaan mereka, serta berselawatlah untuk mereka. " ( At -Taubah : 103)

Sedangkan orang kafir tidak ada manfaat yang perlu dibersihkan. Sheikh Utsaimin dalam Asy-Syarhul Mumti mengatakan :
       
    "Orang kafir najis. Meskipun dicuci dengan air laut seluruhnya dan emas sepenuh bumi, maka tidak akan menjadi suci hingga bertaubat dari kekufurannya".


     2. Merdeka


           Zakat harta tidak wajib atas diri seorang budak sahaya, kerana seorang budak sahaya tidak mempunyai hak milik. Diri seorang budak serta hartanya adalah milik tuannya. Dalil yang menunjukkan hal ini adalah daripada Ibnu Umar :

" Barangsiapa membeli seorang budak dan pada budak itu ada harta maka hartanya untuk tuannya  yang menjualnya, kecuali jika pembelinya mensyaratkan ( bahawa hartanya untuk dirinya)
(riwayat Al-Bukhari no 2379 dan Muslim no. 1543 )


    3. Harta yang dimiliki mencapai nishab


          Nishab adalah kadar atau nilai tertentu yang ditetapkan dalam syariat sebagai batasan minimun sesuatu harta terkena kewajipan zakat. Nishab berbeza-beza pada setiap  harta yang terkena zakat. Jika seseorang mempunyai harta yang nilainya tidak mencapai nishab, maka hartanya tidak terkena zakat.
Abu Said berkata Al-Khudri:
      
" Tidak ada zakat pada hasil tanaman yang takarannya kurang dari lima wasaq, tidak ada zakat pada unta yang jumlahnya kurang dari lima ekor , dan tidak ada zakat pada perak yang beratnya kurang dari lima grams."
(Riwayat Al-Bukhari no. 1447, 1484 dan Muslim no. 979)


    4. Harta telah dimiliki secara tetap


            Harta yang belum dimiliki secara tetap tidaklah terkena zakat. Contohnya, sewa rumah sebelum berakhirnya batasan masa penyewaan. Meskipun wang sewa rumah itu telah menjadi hak milik tuan rumah dengan terjadinya akad sewa, namun dia belum memilikinya secara sepenuhnya. Kerana boleh sahaja rumah itu terkena musibah dan runtuh, sehingga akad sewa  yang disepakati menjadi menjadi batal dan wang sewanya kembali kepada pemiliknya semula (penyewa).


   5. Sempurnanya haul


            Haul adalah masa satu tahun yang harus dilalui oleh nishab harta tertentu tanpa berkurang dari nishab hingga akhir tahun.
Rasulullah s.a.w. bersabda :
       
   "Barangsiapa menghasilkan harta maka tidak ada kewajipan zakat pada harta itu hingga berlalu atasnya waktu satu tahun".


          Namun pada beberapa jenis harta tidak disyaratkan haul, iaitu hasil tanaman (biji dan buah), anak haiwan ternakan, dan laba harta perdagangan. Hasil ternakan wajib dikeluarkan zakatnya bersama induknya jika induknya mencapai nishab, berdasarkan perhitungan haul induknya. Laba harta perdagangan wajib dikeluarkan zakatnya bersama modalnya jika modalnya mencapai nishab, menurut perhitungan haul modalnya.






sumber : majalah i edisi DIS 2010

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan komen anda

Like